AMPANG JAYA: Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita warga Tanzania selepas dipercayai memperdagangkan rakan senegara mereka untuk tujuan eksploitasi seks.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan di sebuah pusat kecantikan.

Namun katanya, setibanya di Malaysia, mangsa dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks.

"Tidak tahan dengan penyeksaan itu, pada Rabu lalu, mangsa bertindak melarikan diri dari sebuah kondominium di Ampang Ukay, Ampang Jaya, dan membuat laporan polis untuk mendapatkan dokumen perjalanan termasuk pasport yang masih dipegang suspek bagi membolehkan mangsa pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mohamad Farouk menambah, bertindak atas laporan itu, polis melakukan serbuan kira-kira pukul 12.45 tengah malam di sebuah apartmen di Jalan Tun Razak, dekat sini pada Jumaat.

Dalam serbuan itu katanya, polis menahan seorang lelaki Nigeria serta dua wanita Tanzania termasuk suspek utama, dan kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan telefon pintar suspek-suspek itu, polis menemui gambar dan pasport pengadu pada suspek utama. 

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek yang berusia 28 hingga 37 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Namun demikian katanya, hanya suspek lelaki yang memiliki pasport ketika ditahan manakala dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ujian saringan awal dadah yang dijalankan ke atas kesemua suspek mendapati dua suspek wanita positif dadah," tambahnya.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 15 Disember ini.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda.