KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun 80 peratus bagi saman trafik bersempena dengan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sehingga 12 Disember ini.

Bagaimanapun menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh, syarat itu tertakluk pada kompaun saman terpilih dan pembayaran boleh dibuat menggunakan aplikasi MyBayar Saman serta di mana-mana kaunter bayaran trafik di seluruh negara.

"Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan," jelas beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, orang ramai dinasihatkan tidak hanya tertumpu pada kaunter PDRM KLCC sahaja bagi membuat pembayaran.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka digalakkan membuat pembayaran kompaun secara dalam talian.

"PDRM menyeru orang ramai mematuhi prosedur standard operasi (SOP) dalam mengawal penularan COVID-19 semasa berurusan di kaunter bayaran fizikal dan seterusnya mengalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian," katanya lagi.