POKOK SENA: Seramai 23 lelaki warga Nepal bersama seorang wanita warga Indonesia ditahan menerusi serbuan Imigresen Kedah di sebuah pusat hiburan yang dijadikan ‘Disko Rimba’ di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, malam tadi.

Serbuan menerusi Op Belanja dilakukan sepasukan 17 anggota dan pegawai Imigresen susulan daripada maklumat diterima JIM mengatakan terdapat aktiviti tidak bermoral dilakukan pekerja warga asing di kawasan terbabit.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, serbuan dilakukan jam 10 malam diketuai Ketua Unit Aduan, Risikan dan Operasi Imigresen Kedah, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohamad Rizal Ramli berjaya menahan seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Ketika serbuan rata-rata mereka tidak menyedari kehadiran pihak kami kerana sedang mabuk dan menari mendengar alunan muzik yang kuat.

“Malah, ada yang langsung tidak menyedari kehadiran pegawai imigresen turut mengajak menari bersama mereka sambil menarik tangan pegawai.

“Namun, mereka dilihat terpinga-pinga apabila pegawai berkenaan mengeluarkan gari sebelum mengarahkan semua pengunjung duduk berkumpul untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ridzzuan berkata, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan diusahakan wanita warga Indonesia bersama teman lekakinya warga Nepal.

Mereka dikatakan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan menjalan urusan perniagaan secara hutang kepada pelanggannya.

"Wanita Indonesia berkenaan mendakwa dia menyewa tanah serta premis terbabit dengan bayaran RM1,000 sebulan untuk membuka kedai runcit.

"Selain itu, wanita terbabit turut mengaku menjual minuman keras secara hutang kepada pelanggannya terdiri daripada warga Nepal yang juga pekerja kilang kawasan berhampiran," katanya.

Antara minuman keras yang dijual secara hutang kepada pelanggan. - Astro AWANI

Menurut Ridzzuan, pemeriksaan lanjut juga mendapati wanita itu mampu mengaut keuntungan mencecah RM10,000 sehari terutama pada hari gaji kerana pelanggannya akan membayar hutang.

Menerusi serbuan itu JIM turut merampas wang tunai berjumlah RM26,000 dan peralatan set karaoke milik wanita warga Indonesia berkenaan.

Wanita berusia 44 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

Sementara semua 23 lelaki warga Nepal ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pas yang sah ketika berada di negara ini.