JOHOR BAHRU: Seorang Datuk Bandar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah.

Permohonan reman dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Suspek berusia 60 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah jam 9 pagi dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.

Semalam, suspek yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan kini bertugas di sebuah PBT lain di Johor Bahru dilaporkan ditahan pada jam 3 petang di Pejabat SPRM Johor.

Dia disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di MBIP.

Hasil siasatan SPRM mendapati, suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakannya semasa menjadi Datuk Bandar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan penjara tidak melebihi 20 tahun.