IPOH: Seorang pesara tentera ditemui maut dengan sembilan kesan tikaman pada tubuhnya di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama pada Selasa.

Punca pembunuhan mangsa berusia 42 tahun itu dipercayai kerana cemburu apabila suspek menuduhnya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menerima laporan mangsa dipercayai dilarikan secara paksa oleh dua lelaki yang dikenalinya kira-kira jam 3 petang di Taman Ngah Ibrahim, Taiping pada Ahad.

Menurutnya, mangsa dilarikan oleh suspek yang bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera pada hari kejadian.

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah melakukan tangkapan terhadap dua suspek terlibat di dua lokasi berasingan.

"Suspek pertama merupakan seorang tentera berusia 34 tahun diberkas di Perlis pada 13 Oktober manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang bekerja sendiri ditahan di Taiping pada 12 Oktober," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bertugas sebagai anggota tentera menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

"Hasil soal siasat, kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah kawasan di Selama dan menunjukkan lokasi mangsa telah dibunuh.

Jelasnya, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari sebelum mayatnya ditemui.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk dibedah siasat.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah dan Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh," katanya.