DNDi melancarkan ANTICOV, ujian klinikal terbesar Afrika

Saraya Mia
November 25, 2020 23:32 MYT
Dua wanita berjalan melepasi grafiti COVID-19 di sebuah bandar berdekatan Johannesburg, Afrika Selatan, 19 Nov, 2020. (Foto AP)
PERTUBUHAN Ubat untuk Penyakit yang Diabaikan (DNDi) melancarkan ANTICOV, ujian klinikal terbesar ke atas peserta negara-negara Afrika, pada Selasa.
Inisiatif ini adalah bagi mengkaji rawatan yang boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 yang bergejala sederhana, sekali gus mengurangkan risiko keruntuhan sistem perubatan.
Menurut pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika, Dr John Nkengasong, ujian klinikal seharusnya dijalankan ke atas rakyat Afrika walaupun kes di benua itu masih terkawal, agar lebih bersedia untuk gelombang baharu.
“Kami mengalu-alukan ujian klinikal ke atas peserta Afrika bagi membantu menjawab persoalan sama ada sistem perubatan Afrika mampu menampung dan merawat pesakit tanpa gejala sebelum ia terlalu lewat,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi DNDi.
Untuk rekod, kes COVID-19 di benua Afrika hanya menyumbang kepada empat peratus kes COVID-19 di dunia setakat ini.
Kaedah rawatan dan ubat baharu akan dimasukkan dalam ujian untuk mencari rawatan terbaik untuk memastikan pesakit COVID-19 tanpa gejala teruk supaya tidak perlu rawatan sama seperti pesakit gejala kronik.
Antara rawatan yang sedang dikaji termasuk ubat yang digunakan untuk merawat malaria, HIV, hepatitis C, serta beberapa jenis kanser.
ANTICOV merupakan usahasama 26 kumpulan penyelidikan dari Afrika dan seluruh dunia itu melibatkan 3,000 peserta di 19 lokasi dari 13 buah negara di benua Afrika.
DNDi ialah sebuah pertubuhan bukan keuntungan antarabangsa yang menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap ubat-ubatan, berpangkalan di Geneva, Switzerland.
#COVID-19 #Afrika #ANTICOV #DNDi #rawatan #ujian #penyelidikan #Kajian #ubat #John Nkengasong #ujian klinikal