BUENOS AIRES: Seorang jururawat yang disiasat dalam kes kematian Diego Maradona mendakwa kecuaian doktor yang merawat pemain bola sepak ternama Argentina itu telah 'membunuhnya'.

"Mereka bunuh Diego," kata peguam Rodolfo Baque yang mewakili anak guamnya jururawat Dahiana Gisela Madrid.

Madrid, 36, merupakan antara tujuh tertuduh yang disiasat dan didakwa selepas lembaga pakar meneliti kes dan mendapati mendiang tidak mendapat rawatan mencukupi dan dibiarkan untuk "suatu tempoh lama yang menyakitkan."

Baque menegaskan doktor yang merawat Maradona harus dipersalahkan di atas kematian legenda bola sepak itu.

Menurutnya Maradona dirawat kerana masalah jantung, namun pada masa sama menggunakan ubat psikiatri yang mempercepat degupan jantungnya.

Maradona juga rebah ketika berada di hospital, dan ketika jururawat meminta untuk melakukan imbasan CAT ke atasnya, seorang pembantu Maradona menolak dengan alasan "bahaya" jika diketahui media, kata Baque.

"Terdapat banyak tanda amaran bahawa Maradona akan meninggal dunia dalam sehari dua.

"Dan tiada doktor yang melakukan apa-apa untuk mencegahnya," kata Baque lagi.

Madrid ialah jururawat Maradona dan merupakan orang terakhir yang melihatnya masih hidup.

Siasatan dibuka susulan aduan daripada dua anak Maradona terhadap pakar bedah saraf Leopoldo Luque.

Sekiranya didapati bersalah, ketujuh-tujuh tertuduh boleh berdepan hukuman penjara di antara lapan dan 25 tahun.

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung pada November tahun lalu pada usia 60 tahun selepas menjalani pembedahan otak akibat pembekuan darah.