KUALA NERUS: Orang ramai yang pernah mendapatkan rawatan daripada pengamal pergigian palsu disaran tampil ke hadapan bagi membantu siasatan lanjut mengenai khidmat doktor gigi tidak bertauliah.

Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noormi Othman berkata pihaknya percaya kontrak perjanjian yang dilakukan bersama doktor tidak bertauliah itu antara faktor mangsa enggan membuat laporan sehingga menyukarkan siasatan dijalankan.

Menurut Dr Noormi, situasi itu sekaligus menyukarkan KKM melakukan tindakan susulan bagi mengesan pihak yang menjalankan serta menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun Dr Noormi berkata individu berkenaan tidak perlu risau dan bimbang untuk menyalurkan maklumat kerana identiti mereka dirahsiakan.

"Apa yang mereka buat perjanjian, macam satu perjanjian, fake dentist buat perjanjian dengan pelanggan mereka di mana pelanggan tersebut mengatakan mereka perlu menandatangi satu kontrak untuk tidak memberi tahu sesiapa berkaitan rawatan yang mereka dapat.

"Jadi pernah ada kes mereka datang ke klinik pergigian dan kita mintak supaya melaporkan siapa, di tempat mana, dia kata tak dapat nak declare sebab dia sudah sain kontrak dan tak berani nak declare," katanya.

Beliau berkata doktor pergigian palsu itu mengiklankan perkhidmatan mereka melalui media sosial.

Mereka juga didapati menjalankan kegiatan di pelbagai lokasi termasuk hotel, rumah persendirian dan rumah tumpangan bagi mengelak aktiviti dihidu pihak berkuasa.

Jelasnya majoriti daripada mereka terdiri daripada golongan wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan melibatkan rakyat tempatan dengan menawarkan harga lebih murah daripada pasaran.

Katanya bagi perkhidmatan pendakap gigi bayaran yang dikenakan antara RM200 hingga RM600 sahaja, berbanding harga pasaran iaitu lebih RM2,000.

Sementara itu Dr Noormi berkata, sebanyak 51 tindakan pendakwaan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) membabitkan kesalahan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa berdaftar diambil dalam tempoh 2017 hingga 2021.

KKM | Kegiatan doktor gigi palsu mungkin meningkat semula