KUALA LUMPUR: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita yang menyiarkan dokumen didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

Laporan itu mendakwa dokumen berkenaan adalah kertas keputusan penghakiman kes rasuah Rosmah, membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular di media sosial.

Ia merujuk laporan bertajuk 'Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022' dan 'Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here' yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.

Keputusan berhubung kes terbabit dijadual dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September ini.

Dalam satu kenyataan, pejabat berkenaan menegaskan, perbuatan itu sebagai tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan.

"Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat berkenaan laporan-laporan portal itu," menurut kenyataan berkenaan.

Kata pejabat berkenaan itu lagi, Badan Kehakiman tidak akan diganggu-gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

Ini kes kedua selepas dokumen didakwa penghakiman kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd turut tular sebelum keputusan rasmi dibacakan di Mahkamah Persekutuan, 23 Ogos lalu.