KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan negeri Sarawak untuk mewujudkan dokumen sementara bagi mengatasi masalah kekangan akses kanak-kanak tanpa kewarganegaraan, dilihat sebagai langkah pertama dalam memberikan hak kesaksamaan kepada semua penduduk yang dilahirkan di negara ini.

Pengasas Bersama Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata biarpun ia tidak menjamin pemberian kerakyatan, namun ia akan membantu memberikan akses kemudahan asas terutamanya pendidikan, yang secara tidak langsung menjadi teras kelangsungan hidup di masa hadapan.

"Kanak- kanak di bawah usia 12 tahun di Malaysia, wajib ke sekolah tetapi isu kerakyatan yang berkaitan dengan masalah dokumentasi menjadi kekangan. Jika mereka tidak diberi akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan dan kesihatan, mereka akan membesar menjadi manusia yang menggunakan hukum siapa paling kuat dia juara atau survival of the fittest.

"Jika ini terjadi banyak timbul masalah lain di masa hadapan," katanya ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan yang disiarkan Astro AWANI, pada Ahad.

Tambahnya, perkembangan kanak-kanak hanya boleh berlaku apabila mereka diberikan hak pendidikan yang merupakan sebahagian daripada prinsip asas dalam Islam.

"Kita perlu ingat, apabila kita beri akses pendidikan dan kesihatan kepada kanak-kanak ini, kita tidak ambil hak sesiapa, sebaliknya kita beri mereka hak yang sememangnya milik mereka," ujarnya.

Pendidikan yang diberikan mampu, jelas Siti Rahayu, akan membekalkan kanak-kanak dengan modal insan, dan diskriminasi hanya kerana mereka tidak mempunyai dokumentasi perlu dihentikan

"Saya rasa ada pelbagai cara boleh dibuat di pihak Kementerian Pendidikan untuk atasi dan buka ruang pendidikan untuk kanak-kanak ini.

"Kalau bukan di sekolah kerajaan, perkara paling basic ialah benarkan mereka berada di alternative learning centre tetapi boleh menduduki peperiksaan awam Malaysia," katanya lagi.

Pada Sabtu, kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan langkah mewujudkan dokumen sementara bagi mengatasi masalah kekangan terhadap akses ke atas kanak-kanak yang tidak memiliki status kewarganegaraan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah, dokumen itu diwujudkan bagi memudahkan urusan untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti kesihatan serta institusi pendidikan rendah dan menengah.

Fokus Minggu Depan: Dokumen Sementara | Jamin kelangsungan pendidikan