KUALA LUMPUR: Dolomite Corporation Bhd telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17) selepas tidak dapat membayar hutangnya berikutan liabiliti yang telah melebihi aset.

Sehingga 31 Dis 2020, syarikat pelaburan itu yang merupakan syarikat induk kepada 14 anak syarikat mempunyai liabiliti bersih sebanyak RM59.57 juta.

Kumpulan ini terbabit terutamanya dalam aktiviti pembangunan hartanah, pembinaan dan perlombongan pasir.

"Dalam tempoh material itu, kumpulan ini berdepan kemungkinan untuk dibubarkan kerana ia telah menerima notis berkanun menurut Seksyen 466 (1) (a) Akta Syarikat 2016 daripada peguam cara Maybank International Cawangan Labuan untuk menuntut sebanyak US$38.19 juta (US$1=RM4.19) dan kos yang diberikan mahkamah dalam tempoh 21 hari," menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pengumuman itu adalah susulan arahan Perintah Pengurusan Kehakiman pada 23 Sept 2021.

Dolomite berkata permohonan bagi perintah itu adalah demi kelangsungan syarikat atau kesemua atau sebahagian usahanya yang berterusan.

Selepas pelantikan Pengurus Kehakiman, nasihat dan kepakaran pengamal ketaksolvenan akan berupaya memulihkan keadaan kewangan syarikat yang memberi peluang pemulihan hutang yang lebih baik kepada semua pemiutang dan/atau meningkatkan usahanya untuk mengurangkan hutang yang pada akhirnya memberi manfaat kepada semua pemiutang syarikat.

-- BERNAMA