KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi keutamaan kepada pegawai dan anggota jabatan itu yang berkhidmat di negeri berisiko banjir untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata dos penggalak itu penting sebagai perlindungan tambahan kepada kakitangan JBPM terutamanya kepada mereka yang akan terlibat dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa bencana.

"Walaupun kakitangan kita sudah lengkap dua dos vaksin, namun risiko dijangkiti tetap ada terutamanya dalam melaksanakan operasi menyelamat kerana kita tidak tahu status kesihatan mangsa dan keutamaan kita pada waktu itu ialah keselamatan setiap nyawa.

"Ada anggota yang agak berusia daripada pasukan perlu diturunkan pada masa bencana dan risiko dijangkiti (COVID-19) masih ada walaupun rendah selepas divaksin, menyebabkan kita perlu melindungi mereka," katanya.

Mohammad Hamdan berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini pada Isnin.

Seramai 75 pegawai dan anggota JBPM negeri ini menerima APC manakala 25 lagi menerima sijil 30 tahun perkhidmatan dalam majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan timbalannya Mohd Zahar Abdullah.

"Semua pegawai dan anggota kita tidak mempunyai halangan bagi mendapatkan suntikan itu, kerana mereka telah melepasi tempoh enam bulan dari tarikh akhir suntikan kedua seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Setakat ini, katanya, kira-kira 1,400 kakitangan JBPM disahkan positif COVID-19 sejak pandemik itu melanda tahun lepas dengan 83 daripadanya adalah kes yang dilaporkan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata sebuah kompleks latihan operasi menyelamat di air yang mengkhususkan pada operasi menyelamat di empangan tembok rendah dan air deras, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu, dijangka siap tahun depan.

Kompleks itu, yang merupakan antara terbesar di Asia Tenggara, adalah penambahbaikan modul latihan susulan tragedi enam anggota bomba lemas semasa melakukan operasi menyelamat di Lombong Taman Putra Perdana di Puchong, Selangor pada Oktober 2018.

"Hasil kajian jawatankuasa siasatan insiden itu mendapati aspek manusia dan kemudahan latihan yang boleh diperbaiki, daripada situ kita menghantar pegawai ke United Kingdom untuk belajar menjadi jurulatih danm pakar dalam operasi di empangan tembok rendah dan air deras.

"Kemudahan latihan juga dipertingkatkan bagi memastikan aspek kompetensi dalam kalangan pegawai dan anggota yang memerlukan latihan berterusan kerana mereka berhadapan situasi yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau memburukkan keadaan jika tiada latihan berterusan," katanya.

-- BERNAMA