PUTRAJAYA: Penggunaan dos penggalak atau ‘booster shot’ bagi vaksin jenis dos tunggal CanSino akan ditentukan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mendapat data yang mencukupi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah pun menerima permohonan daripada CanSino mengenai kemungkinan penggunaan dos penggalak selepas tempoh enam bulan selepas penerimaan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, Kerajaan akan meneliti perkembangan dan data penggunaan dos tersebut dari negara-negara lain dari semasa ke semasa.

“Kalau didapati mereka (negara-negara berkenaan) juga memberikan dos kedua untuk vaksin dos tunggal CanSino, maka kita akan mempertimbangkang,” katanya kepada pemberita di Kick-Off Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja), di SMK Putrajaya Presint 8(1), di sini, hari ini.

Media pada Ahad melaporkan bahawa Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 bagi golongan rentan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam satu kenyataan berkata, langkah itu akan dilaksanakan selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.

Jelas Ismail Sabri, keutamaan pemberian dos ketiga tersebut akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi.

Selain itu, tambah beliau, dos ketiga itu juga akan meliputi individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities).

Setakat ini Malaysia telah meluluskan penggunaan dua vaksin jenis dos tunggal iaitu CanSino, serta Janssen keluaran Johnson & Johnson.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, satu perkara positif ialah Malaysia mempunyai kilang sendiri untuk menghasilkan vaksin CanSino, jika ia memerlukan penggunaan dos penggalak.