Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan vaksin COVID-19 pertama negara.

Usaha ini boleh dirintis dengan mengembleng tenaga para saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan awam untuk melakukan inovasi terutamanya dalam pembinaan dan penghasilan vaksin.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, penghasilan sendiri vaksin COVID-19 sangat penting bagi membantu negara mencegah wabak itu daripada terus menular.

Sehubungan itu katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bahawa MOSTI akan memfokuskan kepada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin COVID-19.

Sementara itu Dr Adham berkata pihaknya merancang untuk membuat ‘perjanjian dua hala’ dengan negara lain yang telah berjaya menghasilkan vaksin covid-19 termasuk China, India dan Thailand.

BACA: Malaysia berupaya hasilkan vaksin COVID-19 tempatan - Dr Adham

Beliau pada masa sama menjelaskan akan mengadakan lawatan ke sebuah kilang ‘fill and finish' vaksin CanSino di Kuala Lumpur pada Isnin.

Jelas beliau, salah satu tanda awal bahawa Malaysia boleh menghasilkan vaksin adalah dengan mewujudkan kilang ‘fill and finish’ ini.

Malaysia sudah mempunyai teknologi pembotolan vaksin yang hanya perlu dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).