SHAH ALAM : Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke Kemboja baru-baru ini yang memberi ingatan kepada orang Melayu supaya tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kaum lain.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar tidak sepatutnya berucap sedemikian kerana secara tidak langsung menghina orang Melayu.

Tegasnya, orang Melayu sejak sebelum dan selepas merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.

"Saya juga dapat tahu dia membuat kenyataan itu setelah lawatan ke Kemboja dan berkata bahawa walaupun umat Islam Kemboja cuma 10 peratus, mereka diraikan, masjid tidak diroboh, hak mereka dipertahan malah diangkat sebagai menteri mewakili kepentingan mereka.

"Kenyataan Anwar ini agak pelik serta ganjil kerana ia menghina orang Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.


Tambahnya, kerakyatan telah diberi kepada satu juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.

"Apabila negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil kaum itu juga dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam Kerajaan.

"Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha Parlimen serta lain-lain jawatan penting," ujarnya.

Beliau berkata, ekonomi negara termasuk yang menjadi billionaire lebih 90 peratus adalah bukan Melayu.

"Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam.

"Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri di serata pelosok Tanah Melayu malahan di antara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus," katanya.

Katanya lagi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak benar isu berkait Melayu disiar, ia dianggap perkauman.

Jelasnya, sebelum ini apabila beliau menyatakan Melayu malas, ramai yang marah sedangkan tujuan untuk ingatkan bahawa kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi negara.

"Jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya. Tetapi hari ini, Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain.

"Namun orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.

"Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu baru tidak angkuh?" soalnya. - Sinar Harian