Dr Asri membuat cadangan berikut menerusi laman Facebook beliau susulan cadangan pihak berkuasa yang ingin membersihkan bandaraya Kuala Lumpur dari peminta dan pemberi sedekah atas alasan ingin membersihkan Kuala Lumpur dari pencemaran.
“Jadikanlah ia kota yang selamat dan berkat. Makmurkan ia dengan kesantunan dan kemakmuran yang mendamaikan jiwa setiap pengunjung. Jadikanlah ia kota yang setiap orang yang masuk ke dalamnya merasa aman untuk dirinya, keluarganya dan temannya.
“Buktikanlah dakwaan bahawa ini negara yang berpegang kepada Islam dan ibu kotanya juga tentu melambang kemakmuran, kedamaian, keluhuran budi dan kesantunan moral selaras dengan kehendak Islam yang membangunkan manusia dan kemanusiaan,” tulis Dr. Asri.
Beliau memuji hasrat untuk membersihkan Kuala Lumpur namun pendekatannya hendaklah holistik dan jelas. Berikut adalah beberapa cadangan ringkas yang dikongsi oleh Dr Asri di laman Facebook beliau:
- Segala yang membawa keruntuhan nilai budi manusia hendaklah dikikis kewujudannya di ibu kota negara kita.
- Untuk mengelakkan penipuan dan sindiket, hanya peminta sedekah yang mempunyai 'permit' (kelulusan) sahaja yang patut diizinkan.
- Permit hanya diberikan setelah individu berkenaan diperiksa di sudut kesihatan, peluang pekerjaan yang ditawarkan, latar pemilikan harta dan lain-lain.
- Orang yang menderma tidak wajar diambil tindakan, sebaliknya orang yang meminta tanpa permit sahaja yang boleh diambil tindakan.
- Orangramai hendaklah dimaklumkan tentang kepentingan mengetahui latar peminta sedekah melalui 'permit' yang diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab.
- Tempat bantuan makanan hendaklah diaruskan dengan baik agar kebersihan dapat dijaga.