KUALA LUMPUR: Ahli akademik, seniman dan aktivis sosial, Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim meninggal dunia sekitar pukul 6.47 pagi ini selepas mendapat serangan jantung.

Isteri Allahyarham, Noorshah Mohd Salleh berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Seksyen 11, Petaling Jaya semasa sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Allahyarham berusia 75 tahun.

Noorshah berkata, pemergian suaminya secara tiba-tiba memang tidak disangka kerana baru semalam mereka berdua berbual-bual dan bercerita mengenai hasrat Allahyarham untuk meneruskan rawatan susulan sakit jantung.

“Baru semalam kami menonton televisyen bersama dan kami berbincang untuk membawa arwah menjalani rawatan susulan jantung. Namun, saya redha dan percaya bahawa ajal arwah sudah sampai,” kata Noorshah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Menurut Noorshah, jenazah Allahyarham suaminya akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah Allahyarham Wan Zawawi dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.