KUALA LUMPUR: Tiada masalah untuk menerbitkan skrip drama dengan pendekatan kreatif, selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan termasuk lima prinsip Rukun Negara, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya ada nilai penulisan kreatif yang berunsur negatif dan bercanggah dengan prinsip yang ditetapkan, perkara itu akan dipantau oleh kementerian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH - Hulu langat), yang mahu mengetahui tahap pemantauan ke atas skrip drama yang sewenang-wenangnya menggunakan watak bergelar Tan Sri dan Datuk Seri, yang tidak bermoral seperti melakukan hubungan sulit dengan isteri orang serta mengambil rasuah, kerana ia menjatuhkan imej gelaran tersebut.

“Selagi mana penulisan kreatif itu bawa mesej kepada umum, tidak langgar garis panduan tertentu, sentiasa hormati hormati prinsip Rukun Negara... maka kita izinkan pendekatan kreatif termasuk dalam penulisan skrip drama.

“Namun, jika terdapat nilai berunsur negatif kepada masyarakat dalam bentuk mungkin bercanggah dengan prinsip tadi, maka ia akan dipantau oleh kementerian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Jazlan Yaakub (BN - Machang) memohon pandangan Annuar mengenai unsur negatif yang pada hemat sesetengah pihak, membawa pengajaran tentang realiti yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat.

Annuar berkata, beliau berpandangan agar kandungan drama perlu lebih peka, serta disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Contoh sewaktu PKP (perintah kawalan pergerakan) memuncak, di mana rakyat dalam keadaan susah dan tertekan, sehingga berlaku peristiwa termasuk bunuh diri dan sebagainya, tidak perlu ada drama lebih melukakan lagi tambah suasana kemurungan.

“Sekarang kita sudah memasuki fasa pemulihan negara, pergerakan lebih terbuka, jadi kita patut kembalikan keceriaan dan hidupkan semangat Keluarga Malaysia – kebersamaan serta inklusiviti.

“Nilai nasional ini memang kita galakkan melalui medium siaran,termasuk drama, teledrama dan sebagainya,” katanya lagi.