KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menandatangani 54 memorandum persefahaman (MoU), surat setuju terima (SST), surat niat (LOI) dan kontrak yang keseluruhannya bernilai RM4.6 bilion hari ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semua itu ditandatangani di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Katanya, ia  melibatkan perolehan aset baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya baru sahaja menyaksikan majlis tandangan dokumen kontrak, MoU, SST dan LOI sempena DSA dan NATSEC Asia 2022.

"Saya ingin maklumkan bahawa nilai kontrak dan perjanjian berkenaan berjumlah RM4.6 bilion. Ini amat membanggakan. Ia melibatkan 20 SST, 24 dokumen kontrak, tujuh tujuh LOI dan tiga MoU," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Kementerian Pertahanan dan beberapa syarikat tempatan.

Cerita Sebalik Berita: Tumpuan hari ketiga DSA & NATSEC 2022

Mengulas lanjut jelas Hishammuddin, bagi Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM), ia melibatkan pembelian kenderaan perisai (APC) yang akan digunakan kontinjen MALBATT 850 di Lubnan selain 155 MM Self-Propelled Howitzers, Logistic Support Bridges (LSB), Trak kargo muatan tiga tan dan Light Anti-Tank Weapon (LAW).

Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula jelas Hishammuddin, ia melibatkan perolehan tiga buah helikopter utiliti AW 139 keluaran Itali; tiga unit Kapal LMS dilengkapi sistem persenjataan terbaharu dan 13 bot pemintas (FIC).

Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, katanya ia melibatkan 36 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

"Ia bagi menggantikan pesawat tempur MiG-29N yang tamat perkhidmatan tahun 2017, pesawat Hawk tamat perkhidmatan tahun 2026 dan pesawat Aermacchi (MB-339CM) yang akan tamat perkhidmatan pada tahun 2030," katanya.

Bagi menggantikan pesawat Nuri yang bakal ditamatkan tugas pada tahun 2026, sebanyak 24 unit helikopter baharu juga terkandung dalam Pelan Perolehan Kementerian Pertahanan, katanya.

Jelas Hishammuddin, bagi Pelan Perolehan Rancangan Malaysia (RMK) Ke-13, sebanyak 12 unit helikopter akan diterima antara tahun 2026 hingga 2030, manakala 12 unit lagi di bawah Perolehan RMK ke-14 antara tahun 2031 hingga 2035.



Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan ruang udara negara terus terpelihara tambahnya lagi, Kementerian Pertahanan turut merancang pembelian radar dan beberapa aset lain.

"Ia termasuk tiga Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD), Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD), Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS), Sistem Udara Tanpa Pemandu Aras Sederhana Ketahanan tinggi (MALE-UAS) and Pesawat Rondaan Maritim (MPA).

"Di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI), tiga pesawat CN235-220M ketika ini dalam proses naik taraf dalam memastikan peranan Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) dapat menjalankan tugas dengan baik," jelasnya lagi.