KOTA KINABALU: Dua ahli kongsi gelap warga Taiwan yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu tidak pernah ada aktiviti jenayah termasuk membabitkan kes penipuan di negara ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan memaklumkan, dua individu itu hanya melakukan jenayah di negara mereka sendiri sahaja.

"Daripada apa yang kita kesan, mereka tidak pernah ada aktiviti di negara kita, apa yang berlaku mereka ini giat melakukan aktiviti jenayah di Taiwan dan mereka terlibat dalam insiden tembakan di sana.

"Setakat itu maklumat yang ada pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan apabila mereka berlepas dari Taipei ke KLIA, kita telah dimaklumkan pihak berkuasa Taiwan dan kita bersedia 'menyambut kedatangan' mereka, tahan mereka.

"Dua, tiga hari lepas mereka telah dibawa balik oleh pihak berkuasa Taiwan untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam berita disebutkan selain terlibat dalam kegiatan gengster dan jenayah keganasan, mereka juga dikatakan terlibat jenayah scammer atau penipuan tetapi seperti saya katakan tadi, setakat ini kita tidak mengesan kedua-dua individu ini terlibat dalam apa-apa aktiviti penipuan membabitkan rakyat negara kita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah pada Selasa.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, setakat ini kedua-dua individu itu tidak memberikan sebarang keterangan atau maklumat mengenai tindakan mereka.

"Kita akan tunggu mungkin selepas ini pihak berkuasa Taiwan akan berkongsi maklumat mengenai aktiviti kedua-dua lelaki ini.

"Setakat ini jenayah dilakukan adalah jenayah yang dilakukan di negara sana dan bukan di Malaysia," jelasnya.

Ditanya lanjut kenapa dua individu itu menyasarkan negara ini untuk dijadikan destinasi, beliau menjelaskan mereka hanya melarikan diri daripada pihak berkuasa Taiwan.

"Mereka sedang berusaha melarikan diri daripada pihak berkuasa Taiwan dan mereka nampaknya memilih KLIA sebagai destinasi, setakat itu maklumat yang kita dapat," katanya.

Pada Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan dua suspek lelaki itu diberkas pada 20 April oleh sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Kedua-duanya diberkas ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan dan semakan mendapati mereka adalah individu yang dikehendaki kerana terlibat kes tembakan di Taiwan. -Sinar Harian