BENTONG: Niat dua beradik bersama keluarganya untuk pulang menghadiri satu majlis pertunangan, tidak kesampaian apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

Dua beradik itu maut, manakala tiga yang lain termasuk ibu bapa mereka cedera apabila kenderaan pelbagai guna yang dinaiki, terbabas sebelum terbalik di Kilometer 44.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bentong awal pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan yang dipercayai berlaku pada 3.20 pagi itu melibatkan sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Kelantan.

Dalam kejadian tersebut Wafa Safia Mohd Hairy, 17, dan adiknya Adam Haiqal Mohd Hairy, 12, disahkan maut di tempat kejadian.

Bapa mereka Mohd Hairy Ahmad 44, mengalami retak tulang belakang dan ibu mereka Zuraini Zolkifli, 44, retak tulang tangan kanan manakala anak bongsu mereka Fahmi Eyman, 10, dilaporkan parah di kepala.

Menurut Kamarulzaman, kejadian berlaku ketika pemandu dipercayai cuba untuk memotong sebuah kenderaan semasa di selekoh namun gagal mengawalnya akibat keadaan jalan yang licin dan kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat kedua beradik dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan dan bedah siasat.