KUALA LUMPUR: Dua beradik melecur selepas terkena cecair kimia yang dipercayai digunakan jirannya bagi membersihkan saluran paip sinki tersumbat, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam di sebuah apartment di Seri Kembangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk di kepala dan badan manakala adik perempuannya berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha.

Beliau berkata ibu kanak-kanak itu memberitahu terdengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya yang berada di bahagian dapur dan mendapati dua anaknya terkena cecair dipercayai asid yang digunakan untuk membersihkan saluran paip sinki tingkat atas unit kediaman mereka.

Anbalagan berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah di tingkat atas kediaman mereka menggunakan serbuk soda dengan memasukkannya ke dalam saluran paip sinkinya bagi membersihkan saluran paip yang tersumbat.

"Seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah di tingkat dua dirakam percakapan dan mengakui menggunakan serbuk soda (pembersih paip tersumbat) yang dibeli dalam talian berharga kira-kira RM50," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Anbalagan berkata kanak-kanak lelaki itu yang melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala adik perempuannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

-- BERNAMA