SHAH ALAM: Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari terhadap dua penjawat awam sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Perintah reman kedua-dua individu berkenaan termasuk seorang wanita yang bermula hari ini hingga 15 Okt itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kedua-dua individu yang berumur 37 dan 40 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini sekitar 9.30 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek itu ditahan kira-kira 2.30 petang di sebuah restoran di Putrajaya.

Sumber berkata mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

-- BERNAMA