Dua kanak-kanak maut motosikal rempuh tiang elektrik

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 14, 2022 13:48 MYT
Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - Gambar/ Ihsan pembaca
PERMATANG PAUH: Dua kanak-kanak lelaki maut selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik di kampung Terus, Penanti di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 11 dan 12 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Pengerusi Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, Baharuddin Abdullah, dia menerima panggilan kira-kira jam 2.30 petang berhubung kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian saya melihat mayat kedua-dua mangsa tercampak di tepi jalan. Mereka dipercayai penunggang dan pembonceng motosikal itu.
"Kedua-dua mangsa dari Kampung Padang Buloh dan Guar Perahu. Mereka dipercayai datang ke Kampung Terus untuk bersiar-siar sebelum terlibat dalam kemalangan.
"Kawasan kampung ini sering menjadi tempat penduduk bersiar-siar sebab jalannya lurus selain pemandangan sawah yang menarik, namun saya tidak menyangka kejadian kemalangan berlaku hari ini, apatah lagi melibatkan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Katanya, dia difahamkan mayat kedua-dua kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Insiden berkenaan turut tular di media sosial Facebook hari ini.
#kemalangan #Tular #kanak-kanak maut #Permatang Pauh