Dua lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diparkir di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru arah Selatan, semalam.

Mayat Ong Cheng See, 39, dan mayat Rizuan Ismail, 39, ditemui oleh pelanggan stesen minyak itu pada 7.30 malam dan memaklumkan kepada pekerja stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata Ong yang berasal dari Melaka merupakan pemandu kenderaan itu manakala Rizuan pula berasal dari Kedah.

"Pekerja stesen minyak berkenaan yang menyangka dua lelaki itu sedang tidur cuba mengejutkan dua lelaki itu dengan mengetuk cermin kereta.

"Bagaimanapun tiada tindak balas dan pintu berkunci dari dalam, dia kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum Pasukan Bomba dan Penyelamat datang dan mengesahkan kedua-duanya sudah mati," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ditemui enjin kenderaan itu masih hidup dan hasil pemeriksaan Unit Forensik polis mendapati tiada kesan kecederaan pada kedua-dua mayat itu.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan bekerja sebagai kontraktor.

Polis akan menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan setakat ini kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata hasil keputusan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan pencemaran gas karbon monoksida.

"Siasatan juga mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah dan mayat dua lelaki berkenaan telah dituntut waris masing-masing," katanya.