KUANTAN: Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan hala Kuantan kira-kira jam 7.52 pagi Sabtu.

Mangsa maut dikenali sebagai Yusof Ibrahim, 58, dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan manakala seorang lagi, Ismail Jaafar,61, belum dikenal pasti alamatnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal kejadian mendapati kedua-dua mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah Gebeng menghala ke Kuantan.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian iaitu berhampiran Depoh Alam Flora, motosikal mangsa dikatakan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut.

"Tindakan itu (tukar laluan) menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak, seterusnya melanggar motosikal terbabit yang dinaiki kedua-dua mangsa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau memberitahu, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta jenis Nissan Almera yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun pula mengalami sakit di bahagian dada," ujarnya.

Wan Mohd Zahari turut menjelaskan pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai sebarang lesen memandu selain cukai jalan tamat tempoh kira-kira tiga tahun lalu.

“Hasil siasatan awal juga mendapati kejadian berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang mengubah haluan secara mengejut.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -Sinar Harian