KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan dua lelaki yang pengsan selepas mendapatkan suntikan vaksin adalah berpunca daripada perut kosong atau tidak mengambil makanan sebelum menerima vaksin.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin berkata, situasi yang berlaku ke atas dua individu di pusat pemberian vaksin (PPV) di Sandakan itu juga bukan disebabkan vaksin.

Tegasnya, tuduhan yang tular di media sosial mengatakan bahawa salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia juga adalah palsu.

"Kedua-dua lelaki tersebut pengsan selama beberapa minit, tidak lama selepas menerima suntikan mereka, akibat kelaparan.

"Setelah kembali sedar, kedua-dua mereka kemudian diberikan pemerikaaan dan pemantauan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dr Rose Nani berkata adalah tidak digalakkan bagi mana-mana penerima vaksin untuk datang ke janji temu mereka dalam keadaan perut kosong.

Jelasnya, ini kerana terdapat kemungkinan waktu menunggu itu boleh mengambil masa sehingga satu jam atau lebih, bergantung kepada kehadiran orang ramai.

Sementara itu, siasatan mendapati seorang daripada lelaki yang pengsan itu belum mengisi perut sejak malam sebelum menerima suntikan vaksin. Manakala bagi seorang lagi, kali terakhir dia makan adalah pada pagi sebelum janji temunya.