KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang didapati menunggang motosikal secara berbahaya ditahan Skuad Unit Risikan Operasi (Skuad 42) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu pada pagi Jumaat.

Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar Kuala Terengganu.

Katanya, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan dalam operasi pertama pada jam 3.45 pagi.

"Lelaki tersebut melakukan aksi berlumba sesama sendiri sambil menundukkan kepala serta melakukan aksi zig zag bermula dari lampu isyarat Taman Permint ke lampu isyarat Chendering.

"Suspek berjaya ditahan selepas memberhentikan motosikal di tepi jalan di hadapan sebuah kedai di Chendering, Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata, lelaki kedua pula ditahan pada jam 4.30 pagi setelah Skuad 42 JSPT Terengganu membuat risikan dan pemantauan di sekitar kawasan Jalan Tok Adis.

"Ketika risikan dibuat, penunggang sebuah motosikal dilihat melakukan aksi berlumba sesama sendiri kira-kira 100 meter di antara Perumahan Tok Adis menghala ke jambatan Kuala Ibai.

"Suspek memberhentikan motosikal berhampiran jalan Taman Tok Adis dan berjaya ditangkap pihak polis kira-kira jam 4.55 pagi," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama motosikal ditunggang dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM 15,000," katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata, operasi berkenaan akan diteruskan sepanjang musim perayaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sekaligus mengekang aktiviti itu daripada terus berleluasa.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan mengamalkan etika pemanduan yang betul dengan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.