ALOR SETAR: Seorang penumpang sebuah kereta Proton Saga dan penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas di dua lokasi berasingan di negeri ini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, dalam kejadian pertama jam 12 tengah malam tadi di Kilometer 172.9 Lebuhraya Utara Selatan, penumpang sebuah kereta Proton Saga iaitu seorang wanita berusia 23 tahun meninggal dunia manakala rakannya, seorang lelaki berusia 23 tahun parah selepas kenderaan yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mereka iaitu lelaki berusia 21 tahun dalam kereta itu patah kaki manakala pemandunya berusia 20-an hanya mengalami cedera ringan dan pemandu lori tidak cedera.

"Operasi dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang.

"Salah seorang mangsa iaitu wanita ditemui di bawah lori kontena dipercayai tercampak ketika kemalangan berlaku dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.

"Seorang lagi mangsa pula yang tersepit dalam kereta yang remuk itu berjaya dikeluarkan pada jam 3.36 pagi tadi oleh pasukan penyelamat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Kilometer 68 Lebuhraya Utara Selatan, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas membabitkan tiga kenderaan.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu jam 7.41 pagi tadi dan operasi disertai anggota dari BBP Guar Chempedak.

Beliau berkata, komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal berusia 40-an meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pihak KKM.

"Pemandu kereta Perodua Myvi pula mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 20-an pula selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.