Dua maut, dua parah, nahas enam kenderaan di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 20, 2023 10:28 MYT
Dua wanita yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan itu. - Foto JBPM Perak
TANJUNG MALIM: Dua orang maut, dua parah dan beberapa lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 389, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat sini, hari ini.
Dua wanita yang maut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan itu yang melibat 12 orang mangsa semuanya.
Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, tiga buah kereta jenis Toyota Altis, Proton Persona dan Perodua Myvi serta dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha LC.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.18 petang.
Menurutnya, kemalangan dipercayai bermula apabila Mitsubishi Triton yang mengalami kerosakan cuba dibantu mereka yang menaiki Proton Persona, Perodua Myvi dan dua motosikal, sebelum dipercayai dirempuh kereta Toyota Altis.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas seperti pemotong hidrolik dan ‘spreader’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya lagi, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa yang cedera ke Hospital Slim River.
Katanya, mangsa yang maut merupakan penumpang Proton Persona yang dinaiki lima wanita, di mana seorang lagi parah dan dua lagi tidak mengalami kecederaan.
Menurut Sabarodzi, seorang lelaki dan seorang perempuan yang menaiki Toyota Altis hanya mengalami cedera ringan.
Katanya, selain KKM, operasi turut dibantu anggota dari Lebuhraya PLUS dan polis trafik.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jasni Abdul Kamal tamat jam 4.15 petang.
#dua maut #kemalangan enam kenderaan #Tanjung Malim #bomba perak