Dua maut, satu cedera parah motosikal bertembung

Adie Sufian Zulkefli
Jun 26, 2021 03:16 MYT
Akibat pertembungan itu mangsa terpelanting ke bahu jalan manakala motosikal mangsa melanggar sebuah lagi motosikal. - Foto ihsan PDRM
ALOR SETAR: Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Taman Nelayan, Kuala Kedah, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 8.25 malam itu membabitkan tiga buah motosikal.
"Kejadian dipercayai berlaku berhampiran tiang elektrik di kawasan itu apabila motosikal remaja terbabit bertembung dengan salah seorang mangsa yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.
"Akibat pertembungan itu mangsa terpelanting ke bahu jalan manakala motosikal mangsa melanggar sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun dari arah Taman Nelayan ke Kubang Rotan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Shukri mangsa yang maut dikenalpasti, Amir Husaini Mohd Rodzi, 15 tahun, dan Hamdan Adnan, 40 tahun, masing-masing menunggang motosikal berasingan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal, Muhamad Hidayat Rosli, 22 tahun, parah selepas mengalami kecederaan di badan dan kaki.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
#kemalangan #maut #motosikal #remaja