PENAMPANG: Tiga individu, termasuk bayi berusia lapan bulan dan kanak-kanak perempuan lima tahun maut dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, di sini petang tadi.

Bayi yang meninggal dunia dikenali sebagai Dayana Zulazmil; ibunya, Salmah Hamid, 25, serta Rosatima Asbirin, 5.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, selain tiga mayat mangsa yang ditemukan, tiga lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata punca kejadian dan maklumat lain seperti hubungan mangsa masih dalam siasatan.

Menurut jurucakap tersebut, bomba menerima panggilan insiden itu sekitar jam 3.57 petang sebelum sepasukan bomba dari Penampang dan Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.