Dua mayat kanak-kanak dihanyut arus deras di Keningau akhirnya ditemui

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 12, 2020 08:08 MYT
Salah seorang jasad mangsa yang ditemui oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Keningau. - JBPM
KENINGAU: Mayat dua kanak-kanak yang Isnin lalu dilaporkan hilang akibat dihanyut arus deras di Sungai Liawan, Keningau ditemui di dua lokasi berbeza.
Menurut Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Keningau, Penguasa Bomba Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan kedua-dua mayat dijumpai penduduk kampung yang tinggal berhampiran Sungai Pegalan.
"Mayat kedua-dua mangsa ditemui penduduk kampung yang tinggal berhampiran Sungai Pegalan pada petang Khamis.
"Mayat pertama yang dikenali sebagai Amber Lim, 4, tahun ditemui sekitar jam 2.15 petang oleh penduduk Sungai Pegalan berhampiran Kampung Jawa, Sumbiling, Tenom.
"Manakala mayat abang mangsa, Jason Lim, berusia 6 tahun ditemui penduduk kampung di Sungai Sigapon, Tenom pada jam 2.25 petang," katanya yang dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Menurut Yuszaimi, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
Pada Isnin, kedua-dua mangsa dilaporkan hilang dihanyut arus deras di Sungai Liawan, Keningau selepas kenderaan pacuan empat roda milik ayah mangsa terbalik dan terhumban ke sungai terbabit.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang tidur di bahagian belakang kenderaan terbabit yang cuba melintasi jambatan yang dinaiki air susulan hujan lebat sejak Ahad lalu.
Pasukan Bomba dan beberapa agensi lain terlibat dalam misi pencarian sejak Isnin lalu dan hampir menemui jalan buntu sebelum akhirnya mendapat maklumat daripada penduduk kampung pada Khamis.
#kanak-kanak lemas #sungai liawan #Keningau #bomba #JBPM #Sungai Pegalan #Sabah