Pasukan Keselamatan Negara telah menangkap dua orang penting dalam insiden Sulu di Lahad Datu dalam dua penangkapan yang berasingan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dua orang tersebut adalah seorang rakyat tempatan yang selama ini membekalkan makanan, minuman, ubat-unatan, pengangkutan dan tempat tinggal untuk kumpulan Sulu, serta seorang pemerintah tentera Filipina.

“Kami tangkap rakyat tempatan itu semalam manakala pemerintah tentera itu ditangkap pada awal pagi ini.

“Dengan tangkapan ini terutamanya penangkapan pemerintah tentera itu, kami percaya kumpulan Sulu itu telah dilumpuhkan,” kata beliau semasa satu sidang media di Felda Sahabat hari ini.

Khalid berkata kedua-dua orang itu yang berusia dalam lingkungan 40 tahun, telah ditangkap dengan isteri masing-masing.

“Rakyat tempatan itu dan isterinya ditahan di Semporna manakala pemerintah tentera dan isterinya pula telah ditangkap di kawasan Tungku kira-kira 60km dari kawasan Felda Sahabat.

“Dengan ini, kami telah menangkap 408 orang dan membawa keluar 38 mayat dari kawasan operasi. Semalam kami telah membawa keluar lapan mayat yang telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.

Sementara itu, Khalid mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan yang member maklumat untuk menangkap kedu-dua orang tersebut.