KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan dua pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC positif COVID-19, sekali gus memaksa perlawanan Liga Super antara KDA FC dan Penang FC esok ditunda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata penundaan aksi yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar dibuat selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

"Pihak pengurusan KDA FC memaklumkan dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas para pemain ketika ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

"Ujian ini adalah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga gelembung sukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tarikh baharu perlawanan akan dimaklumkan kelak, dan beliau berharap supaya semua pemain dan pegawai pasukan terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga gelembung sukan demi kelancaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

-- BERNAMA