JOHOR BAHRU: Dua pensyarah Bahasa Jepun dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Anugerah Kepujian Menteri Luar Jepun untuk Tahun 2021 (Individu) baru-baru ini.

UTM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan mereka adalah Pensyarah Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Madya R. Kumaraguru dan Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) Hasparina Abdul Ghafar.

"Anugerah ini diberikan oleh Kementerian Luar Jepun berdasarkan sumbangan luar biasa mereka dalam menggalakkan pertukaran dan persefahaman antara Jepun dengan Malaysia.

"Kepujian Menteri Luar ini turut dianugerahkan kepada individu dan kumpulan dengan pencapaian cemerlang dalam bidang antarabangsa, bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam mempromosikan persahabatan antara Jepun dengan negara dan bidang lain," menurut kenyataan itu.

UTM memberitahu, anugerah itu diberikan dengan tujuan mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu dan organisasi yang memberikan sumbangan besar untuk mempromosikan persahabatan antara Jepun dengan negara lain.

Sementara itu, Kumaraguru berkata beliau gembira terpilih sebagai penerima anugerah dan ia satu penghormatan bukan sahaja kepadanya tetapi juga UTM yang disokong Kementerian Luar Jepun dalam bidang pendidikan Bahasa Jepun.

"Saya gembira membawa UTM lebih tinggi ke peringkat global menerusi anugerah ini. Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda dari Malaysia dan Jepun untuk meningkatkan kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua negara," katanya.

Hasparina juga menzahirkan penghargaan kerana terpilih sebagai seorang daripada penerima anugerah itu.

"Pendidikan bahasa Jepun di MJIIT telah meningkat dengan pesat beberapa tahun ini dan kini, kami mempunyai ramai pelajar dengan kelayakan Ujian Kemahiran dalam Bahasa Jepun (JLPT) dan ramai yang menerima tawaran daripada syarikat Jepun, terutama sejak kami memulakan kursus khas untuk Job Hunting pada 2020," katanya.

-- BERNAMA