TAPAH: Dua penumpang maut apabila van yang mereka naiki hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 331.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat sini, hari ini.

Mangsa, seorang warga Filipina, Relano Gemar, 35, disahkan maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Collins Prestly Primus, 29, yang beralamat di Keningau, Sabah, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tapah.

Seorang penumpang van yang beralamat di Sibu, Sarawak mengalami kecederaan ringan manakala pemandu kedua-kedua kenderaan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 12.54 tengahari.

Menurutnya. siasatan awal mendapati van berkenaan dalam perjalanan dari Kelang ke Bukit Kayu Hitam manakala treler tanpa muatan itu dari Setia Alam ke Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, van berkenaan dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang kanan treler,” katanya di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan awal turut mendapati treler berkenaan berada di laluan kiri dan hendak berhenti di lorong kecemasan.

Katanya, ekoran kejadian itu, polis menahan pemandu van berusia 31 tahun untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.