ALOR GAJAH: Keghairahan dua rakan membeli dua ekor kucing Parsi bernilai RM2,600 dengan menggunakan nota wang palsu membawa padah apabila mereka berjaya dicekup pasukan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, suspek masing-masing seorang lelaki berusia 22 tahun dan rakannya seorang wanita berusia 24 tahun itu dicekup di Ipoh, Perak pada petang semalam.

“Pengadu yang merupakan pesara guru berusia 56 tahun pada awalnya membuat urusan jual beli kucing berkenaan kepada suspek melalui laman Facebook yang mana mereka telah membuat bayaran deposit sejumlah RM100 ke akaun bank.

“Mereka kemudian berjumpa di Plaza Tol Ayer Keroh pada Sabtu lepas dan pengadu menyerahkan kedua-dua ekor kucing berkenaan dan menerima baki bayaran RM 2,500 daripada suspek.

“Namun pada keesokannya pengadu mengesyaki wang tersebut adalah palsu ketika ingin membeli kucing lain di Skudai, Johor sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya pihaknya sedang menyiasat dari mana duit palsu itu diperolehi dan ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Jelasnya, ketika tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira, dua ekor kucing Parsi serta sebuah mesin cetak berwarna.

“Setakat ini masih belum dapat dipastikan dari pada mana suspek dapat duit palsu itu, tetapi duit palsu berkenaan berkualiti rendah selain kedua-dua mereka positif dadah.

“Suspek wanita itu juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain status masih dikehendaki pihak polis,” tambahnya.

Katanya, kedua-dua suspek direman lima hari sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 489b Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.