JERANTUT: Kegembiraan tujuh sahabat mandi-manda di Sungai Putat dekat Padang Piol di sini sempena cuti persekolahan bertukar tragedi selepas dua daripada mereka ditemukan lemas pada Khamis.

Mangsa, Muhamad Safwan Mohamad Zamri dan Mohamad Hanapi Romzi, kedua-duanya berusia 13 tahun ditemui dalam sungai tersebut kira-kira jam 5.40 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mati lemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superitenden Azman Mat Khamis memberitahu, hasil siasatan mendapati kira-kira jam 11 pagi, kedua-dua mangsa bersama lima lagi orang rakannya telah mandi di sungai tersebut.

"Apabila selesai mandi, lima rakan mereka telah mengajak kedua-dua mangsa untuk pulang tetapi kedua-keduanya tidak mahu pulang dan terus mandi.

"Dan pada jam kira-kira dua petang, rakan mangsa telah pergi ke rumah mangsa iaitu,Mohd Safwan tetapi mangsa belum pulang," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, ayah mangsa kemudiannya pergi ke tempat kejadian dan mendapati selipar dan baju kedua-dua mangsa berada di tepi sungai.

"Ayah mangsa cuba mencari di sekitar kawasan sungai tetapi tidak menjumpai mangsa.

"Penduduk kampung bersama anggota polis dan bomba telah melakukan aktiviti pencarian dan berjaya menjumpai kedua-dua mangsa kira-kira jam 5.40 petang di dalam sungai tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mati lemas," jelas Azman lagi.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan, tiada kesan kecederaan lain dijumpai mana-mana bahagian badan mangsa atau kesan berunsurkan khianat, jenayah dan telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Jerantut untuk bedah siasat. - Sinar Harian