TAIPING: Dua remaja maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal di kilometer (km) 206.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini pada Khamis.

Mangsa, Aiman Adha Mansor dan Muhammad Afif Haikal Mohamad Rizal masing-masing berusia 19 tahun, maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas di lokasi kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan itu pada jam 9.21 malam.

Katanya, ketika di lokasi kejadian, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting  mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 telah terbabas.

“Salah seorang daripada mangsa didapati telah tersepit di antara pembahagi jalan, manakala seorang mangsa lagi telah tercampak ke bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa telah disahkan maut oleh pegawai perubatan Jabatan Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Selain itu, ujarnya pasukan bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersepit itu dan menyerahkan kedua-dua mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Punca kejadian dan maklumat lanjut mangsa masih dalam siasatan.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Wan Abu Osman Ibrahim itu tamat pada jam 10.15 malam.