KOTA TINGGI: Dua remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Felda Air Tawar 4 dekat sini pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian pada jam 8.40 malam itu melibatkan motosikal Yamaha Y15 ZR dinaiki mangsa dengan satu lagi motosikal jenis sama.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dua remaja terbabit datang dari arah Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Air Tawar 5.

"Semasa sampai di jalan utama Felda Air Tawar 4, motosikal dua mangsa tersebut hilang kawalan dan bertembung dengan satu lagi motosikal Y15 ZR secara berdepan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, kedua-dua remaja berkenaan cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Hussin, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui kejadian sebenar.

"Orang awam dinasihatkan supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama," ujar beliau.

Terdahulu, tular perkongsian dalam Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di jalan masuk Felda Air Tawar 4 yang membabitkan dua penunggang motosikal.

Dalam hantaran itu mendakwa kawasan kemalangan sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan tidak hidup.

"Semoga dipermudahkan segala urusan dan salam takziah buat keluarga arwah," tulisnya. -Sinar Harian