LONDON:Dua orang terbunuh dalam kejadian letupan dan runtuhan bangunan di sebuah kedai di barat London, pada Rabu.

Memetik laporan SkyNews, pihak bomba memaklumkan, letupan tersebut berlaku di sebuah kedai di bawah bangunan flat di kawasan Southall, di King Street.

Pihak bomba turut mengesyaki kejadian tersebut berpunca daripada letupan gas.

Briged Bomba London (LFB) memberitahu, empat individu dan seorang kanak-kanak telah berjaya diselamatkan.

Komander Stesen Paul Morgan berkata pasukannya telah menggunakan peralatan khas termasuk penggunaan anjing pengesan bagi operasi menyelamat tersebut.

"Kami dapat mengesahkan bahawa dua orang telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Ini adalah kejadian yang menyedihkan... anggota bomba juga telah bekerja secara sistematik untuk menstabilkan bangunan dan mencari mangsa yang terbabit dalam kejadian itu," katanya.