Dua lelaki warga Pakistan terlepas tali gantung apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada tuduhan mengedar 88 kilogram (kg) dadah jenis Ketamin, tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Jan Zada, 37 dan S.M. Saeed, 42.

Beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut bagi tujuan pengedaran.

Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh itu diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan K. Shanmugam manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Yazid Sairi daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jan Zada dan S.M Saeed bersama dua lagi yang masih bebas didakwa mengedar dadah jenis Ketamin seberat 88.889kg di No 43-G, Blok B, Jalan Kajang Perdana 3/2, Bandar Kajang, kira-kira jam 11.30 malam, 26 Jan 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39 B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan yang bermula Februari lalu.

Pada 29 Jan 2018, media melaporkan JKDM menumpaskan sindiket pengedaran dadah warga asing dan merampas 37 guni disyaki berisi dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM18 juta dalam serbuan di sebuah premis di Kajang.

-- BERNAMA