Suruhanjaya Pilihan Raya SPR menafikan Dewan Undangan Negeri Johor akan bubar secara automatik esok (Khamis).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang dihubungi hari ini memaklumkan, mandat DUN Johor tidak berakhir pada 21 Mac sebaliknya 21 April 2013.

Tambah Abdul Aziz, DUN Negeri Sembilan sebaliknya merupakan satu-satunya Dewan Undangan Negeri yang akan terbubar secara automatik pada bulan ini.

"Mandat DUN Negeri Sembilan akan berakhir pada 27 Mac ini," kata beliau dalam mesej ringkasnya kepada Astro AWANI.

"Sekiranya tiada pengumuman mengenai pembubaran Parlimen (sebelum daripada tarikh itu), maka terbubarlah DUN Negeri Sembilan dengan sendirinya.

"Speaker DUN akan memaklumkan kepada SPR. Kami ada 60 hari untuk menentukan hari pengundian," ujar Aziz.

Beliau mengulas desas-desus di laman media sosial mengenai pembubaran Parlimen yang dikatakan akan dibuat pada hari ini serta kedudukan DUN Johor yang dikatakan terbubar esok.

Dalam pada itu, Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Ali Hassan turut mengesahkan DUN Johor akan berakhir pada 21 April.



Pejabat Perdana Menteri dalam mesej melalui Twitter bagaimanapun menafikan Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen hari ini.


Parlimen penggal sekarang mempunyai mandat sehingga minggu akhir April ini.