KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka diadakan pada minggu pertama Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Selasa.

Untuk itu, ujarnya Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) hari ini mencadangkan sidang DUN dan perasmiannya diadakan pada minggu pertama Ogos ini.

‘’Saya telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam dan baginda juga telah memberi perkenan.

‘’Unit DUN telah diminta membuat semua tanggungjawab mereka, untuk menghantar notis dan warta bagi memastikan bahawa sidang DUN dapat dijalankan,’’ katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri sebelum ini bersedia mengadakan persidangan DUN dengan seberapa segera namun tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertuan Agong.

BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

BACA: Tiada keperluan letak negara dalam darurat selepas 1 Ogos - Raja-Raja Melayu


Ia selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Zainal Syed Ahmad memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Parlimen segera bersidang menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada 16 Jun lepas.

Di peringkat negeri pula, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Kali terakhir DUN Negeri Sembilan bersidang pada 3 Disember 2020, berdasarkan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-peraturan Tetap dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan Tahun 1960, tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam enam bulan dari tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun 2021.
 
Sumber Facebook dsaminuddinharun

Bagaimanapun, tempoh enam bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat dan tempoh enam bulan akan berjalan semula sejurus selepas 1 Ogos 2021 (sekiranya darurat tidak disambung lagi).

Terdahulu pada 12 Januari 2021, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

BACA: Agong perkenan isytihar darurat hingga 1 Ogos

BACA: Sultan Johor perkenan Dewan Negeri Johor bersidang bermula 12 Ogos


Dalam perkembangan sama, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga memperkenankan agar persidangan Dewan Negeri Johor mula bersidang pada 12 Ogos.

Sultan Ibrahim dalam masa sama berkenan untuk merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat itu seperti tarikh yang telah ditetapkan yang bakal diadakan di Kota Iskandar.