KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan hasil Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk petroleum yang lebih tinggi daripada jangkaan tahun ini.

Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat 28 November ini, kerajaan negeri menerima RM1.79 bilion cukai jualan produk tersebut.

"Sukacita saya memaklumkan bahawa jumlah hasil CJN produk Petroleum yang telah dikutip adalah lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan anggarkan untuk tahun ini.

"Setakat 28 November 2022, kita telah menerima RM1.79 billion daripada cukai jualan ini," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Beliau menjawab soalan asal ADUN Dilantik, Datuk Seri Yong Teck Lee yang ingin tahu berapakah jumlah CJN yang dianggarkan diterima pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas.

Tambah Masidi, kerajaan Sabah menggunakan piawaian antarabangsa yang sering digunakan oleh Perbendaraan Malaysia untuk membuat perkiraan yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa mengikut harga minyak dunia.

Menjawab soalan tambahan, Datuk Yusof Yacob (BN-Sindumin) yang ingin tahu sama ada kerajaan Sabah akan menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dalam meningkatkan sumber pendapatkan CJN, Masidi berkata, Sabah telah meluaskan hasil secara perlahan dalam produk petroleum.

"Terbaharu, kita telah mula mengutip cukai jualan bagi produk urea dan amonia dan berharap sedikit sebanyak ia akan menambah pendapatan menerusi perkembangan industri tersebut," katanya.