KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menolak usul menaikkan gaji menteri, pembantu menteri dan ADUN-ADUN yang diluluskan pada Selasa melalui pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) 1981.

Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Ketua Wira Warisan, Datuk Azis Jamman berkata, kenaikan tersebut tidak kena pada masanya serta tidak sesuai dilaksanakan ketika rakyat lebih memerlukan perhatian daripada kerajaan.

“Menaikkan gaji bukanlah satu-satunya cara untuk membantu ADUN-ADUN ketika rakyat dibebani kesulitan kerana kos kehidupan yang meningkat.

“Namun jika kerajaan benar-benar prihatin, peruntukan tahunan harus diberikan kepada semua ADUN tanpa mengira parti bagi membolehkan dana berkenaan disalurkan kepada rakyat di peringkat akar umbi di kawasan DUN masing-masing.

“Bantuan berkenaan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban rakyat pada ketika kita masih berhadapan dengan keadaan ekonomi global serta inflasi yang membelenggu negara dan dunia hari ini”, Azis berkata.

Tambah Azis, kenaikan itu juga dilihat tidak wajar kerana hampir semua perbelanjaan seharian menteri dan ketua menteri seperti bil air, elektrik, kenderaan, dan pemandu adalah percuma tidak termasuk elaun yang lain.

“Jika semuanya diambil kira iaitu gaji sebagai Ketua Menteri, menteri, ADUN serta elaun keraian sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan dan ADUN ditambah lagi dengan kemudahan bil air dan elektrik, kenderaan, pemandu dan petrol yang kesemuanya Percuma, maka jumlah keseluruhan bayaran, ganjaran atau emolumen yang dinikmati Ketua Menteri boleh mencecah RM100,000 sebulan.

“Bukankah mereka turut mempunyai peruntukan dari kementerian masing-masing serta peruntukan tahunan YB dari kerajaan?”, soal Azis di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Pada Selasa, Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 diluluskan oleh speaker Datuk Kadzim M. Yahya setelah bacaan ketiga oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.

BACA: DUN Sabah: Usul naik gaji Ketua Menteri dan semua ADUN lulus, majoriti setuju

Pindaan tersebut menggantikan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) 1981.

Antara perincian di dalam pindaan Enakmen tersebut termasuklah kenaikan gaji bulanan Ketua Menteri daripada RM23,595 kepada RM33,033, Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 kepada RM29,221.50, serta Menteri RM16,335 kepada RM22,869.

Bagi gaji speaker pula RM16,335 kepada RM22,869, manakala pembantu menteri dan timbalan speaker RM12,705 kepada RM17,787.

Ahli Dewan Undangan Negeri pula meraih kenaikan gaji daripada RM7,950 kepada 11,130 sementara bagi setiausaha politik RM5,445 kepada RM7,623.