SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan dua pindaan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pentadbiran agama Islam bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes secara teknologi komunikasi jarak jauh.

RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor)(Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022, dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mohd Zawawi pada sidang media berkata dengan kelulusan tersebut kes-kes terdahulu yang dilakukan secara dalam talian di Mahkamah Syariah di Selangor adalah diperakui sah.

"Kalau dilihat jumlah kes yang dibicarakan mahkamah di semua daerah secara dalam talian dari 2020 hingga Julai 2022 berjumlah 1,740 kes manakala wakalah dalam talian (1,184 kes); pentadbiran afidavit dalam talian (659 kes) dan kes sulh dalam talian (150 kes).

"Alhamdulillah, hari ini dewan telah mendapat kelulusan untuk pindaan ini dan kalau sekiranya tidak diluluskan kesemua kes ini akan terbatal dan terpaksa diulang semula, hari ini kedua-dua pindaan ini telah diluluskan untuk diwartakan dalam Undang-undang Enakmen Negeri Selangor, " katanya sambil menambah pindaan tersebut berkuat kuasa pada 17 April 2020.

Beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan pewartaan bagi RUU berkenaan.

Terdahulu, Mohd Zawawi ketika membentangkan enakmen itu memaklumkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) menghadapi kekangan dalam menjalankan prosiding mahkamah secarafizikal ekoran wabak pandemik COVID-19 sejak 2020.

"Penularan wabak pandemik COVID-19 ini juga menyebabkan prosiding kes di JAKESS tertangguh yang secara tidak langsung menyebabkan kes tertunggak di Mahkamah Syariah. Pihak JAKESS telah mengambil inisiatif menjalankan prosiding secara dalam talian pada 17 April 2020 bagi mengatasi isu penangguhan kes terutamanya semasa penularan wabak pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, terdapat lakuna di dalam peruntukan undang-undang sedia ada berhubung dengan kuasa Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding melalui teknologi jarak jauh," katanya.

Oleh yang demikian, katanya JAKESS mencadangkan pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes secara teknologi komunikasi jarak jauh.

-- BERNAMA