KUALA BERANG: Durian kampung milik pekebun kecil di Terengganu, yang dulunya dipandang sepi dan tidak begitu dikenali bakal menjadi durian premium setaraf Musang King (D197) bagi menembusi pasaran dunia.

Usaha mengangkat martabat durian kampung premium itu, kini giat dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu melalui pertandingan yang diadakan sejak Julai lepas, yang bertujuan mengenal pasti varieti durian kampung berkualiti tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, pertandingan itu adalah platform terbaik untuk mempromosi durian kampung premium dari seluruh pelusuk negeri.

"Pertandingan bermula di peringkat kampung dengan memilih durian yang terbaik, untuk ke pertandingan peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Hasilnya kita berjaya kenal pasti 10 varieti durian kampung premium yang sangat bagus dan mempunyai kriteria setaraf durian hidbrid, yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia ketika ini.

"Proses mendaftarkan varieti durian ini akan dilakukan secepat mungkin, mengikut ciri-ciri istimewanya agar ia mampu berada dalam kategori durian premium, sama seperti durian yang menjadi buruan ramai ketika ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghakiman durian yang dipertandingkan di Kompleks Pertanian Ajil di sini.

Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan ketua hakim iaitu Pensyarah Pusat Pengurusan Ladang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin Profesor Dr Jamil Zakaria.

Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh pekebun dari daerah Kuala Nerus, dengan wang tunai RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Marang dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu tidak melibatkan kehadiran pemilik durian, kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata pertandingan itu juga bertujuan mendedahkan pekebun kepada sistem pengurusan dusun durian yang lebih baik dan bersistematik, agar durian kampung premium yang berkualiti tinggi itu dapat dihasilkan secara konsisten.

"Penjagaan pokok adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan seperti pengairan, baja, cahaya dan beberapa teknik yang telah terbukti berjaya dilakukan pekebun durian komersil.

"Kita tidak mahu lagi pokok durian ini hanya terbiar dan pemiliknya hanya datang 'menjenguk' ketika musim luruh sahaja. Jika kita mahu menghasilkan durian kampung premium yang setaraf durian klon lain, usaha gigih perlu dilakukan pekebun, dengan kerjasama khidmat nasihat diberi Jabatan Pertanian agar ia mampu memberi pulangan yang lumayan," katanya.

-- BERNAMA