SHAH ALAM: Tiga lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 585.1 gram (g) dalam sebuah bangsal lembu di Rawang, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap C. Peter Yesudas, 55; V. Kasinathan, 43, dan K. Nagaraj, 57, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Beliau berkata keterangan ketiga-tiga tertuduh didapati lebih berkisar kepada penafian dan 'after thought' (pertimbangan semula), selain gagal disokong dengan bukti yang konkrit.

"Mereka juga didapati mempunyai milikan secara langsung iaitu perbuatan memproses dadah dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah di dalam bangsal.

"Terdapat juga bukti asid deoksiribonukleik (DNA) setiap tertuduh yang dirampas di tempat kejadian dan keterangan secara keseluruhan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan serta jagaan terhadap bangsal itu," katanya.

Hakim juga memerintahkan pertuduhan serupa terhadap seorang lagi tertuduh, M. Radakrishnan, 52, dibatalkan kerana lelaki itu telah meninggal dunia semasa dalam tahanan.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan S. Balaguhan, 50, yang masih bebas dengan niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat bersih 432.5g dan Monoacetylmorphines seberat 152.6g di Rawang kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pada 26 Nov 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan selain sebanyak 317 eksibit telah dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Nov 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir.

-- BERNAMA